KALAU
diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk saya yang sentiasa
terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya terpaksa bermain kutu
dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah,
Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50
Kamariah
menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan kerana ia boleh
dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.
Katanya,
bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak
memiliki banyak wang.
“Saya
menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik menerima wang,
saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.
“Sebagai
contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar RM50 sehari. Kami
membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima mendapat RM12,500.
“Kaedah
ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak
wang pada satu-satu masa,” katanya.
Dia
yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya banyak
membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya menyertai rakan
lain bermain kutu.
Katanya,
permainan kutu tidak tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya
diteruskan supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.
“Jika
mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik
sebagai penama.
“Itupun
terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan apabila
mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk melangsaikan hutang
lama dan menanggung anak yang masih belajar,” katanya.
Wanita
gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja membolehkannya membeli barang
kemas, malah digunakan untuk membeli sebuah rumah berharga hampir RM200,000.
Kamariah
berkata, minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah
bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.
Katanya,
kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi tukang
emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas di kebanyakan
kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Arwah
bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri ini.
Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal untuk
membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya pula menjadi
‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.
Sambil
menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih mesra
dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia mampu
membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.
Bagaimanapun,
katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal berdepan
risiko seperti ahli yang tidak jujur.
“Bermain
kutu memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih
ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.
“Lagipun,
kami sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok,
barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.
“Kami
kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga
memudahkan ‘urusan’ mengutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari
Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.
Hias
diri, pelaburan paling utama
SEPASANG
suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga tahun
lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.
Kini
Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul Rashid, 37,
boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat tempat di hati
penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua cawangan francais.
Menurut
Tengku Nor Alani, kebanyakan masyarakat tempatan gemar menjadikan barangan
kemas bukan hanya sebagai perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat
harga melonjak di pasaran.
“Boleh
dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang atau lebih pembeli emas yang
rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan diri atau untuk pelaburan.
“Jangan
terkejut jika ada lelaki datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram.
Bayangkan harga satu kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika
jongkong yang ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.
“Kebanyakan
pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat gaya
pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu membeli emas dalam
jumlah sedemikian.
“Kebanyakan
mereka adalah golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas
dan mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.
“Mungkin
ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan maksimum. Itu
tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas (dinar) atau wang
perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain untuk tujuan sama.
“Tepuk
dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut
cara masing-masing,” katanya.
Jika
Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd Said,
iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi perniagaan keluarga.
Seorang
anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan
perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.
Menurut
menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan Kembang
gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan pelaburan.
“Tidak
dinafikan, sambutan terhadap jualan emas setiap hari sentiasa ada pembelinya
antara 10 hingga 20 orang memandangkan kebanyakan mereka berfikiran jauh.
“Rata-rata
masyarakat di sini gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam masyarakat
sejak dulu sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.
“Yang
menarik, sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan sesama
peniaga sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai kami mendapat
Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Sambutan
hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.
Menurut
pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu pada 14
Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan lebih 500
orang.
“Sebenarnya,
dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang,
kebanyakan ejennya dari Kelantan.
“Untuk
itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka
yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran terkini.
“Pemerhatian
terhadap trend pasaran di sini mendapati, mereka membeli emas kerana pelaburan
yang dianggap berbaloi dan ramai orang tempatan suka emas 916.
“Namun
ada juga yang sukakan permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun
permata sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.
Harga
emas jarang menjunam
MEMBELI
emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai timur,
terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia seolah-olah
tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara hidup golongan Hawa
di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Jika
dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini makin
berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai pelaburan atau
mengekalkan reputasi.
Perkara
itu diakui pemilik Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih
12 tahun di bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di
Kuala Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.
Menurutnya,
gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India sebagai
negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.
“Kebanyakan
rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk dilaburkan di
kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak pernah susut nilai
atau menurun.
“Hakikatnya,
harga emas jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas
kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan
kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun, ia hanya
sementara.
“Disebabkan
ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri
semata-mata,” katanya.
Suhaimi
turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh,
kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai sehingga
RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas yang dibeli dengan
harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam tempoh lima tahun lagi.
“Ini
menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,”
katanya.
Sebagai
perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau mula
menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh kali ganda.
Mengenai
jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau 999 iaitu bersamaan 24k (karat
iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen) paling mahal di Malaysia.
Ini
diikuti ‘emas 95’ (950) yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4
peratus kandungan emas tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan
emas tulen).
Bagaimanapun,
katanya, kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana ia dianggap ‘standard’ sama
ada di segi harga atau piawaiannya.
Bagi
mengelak ditipu, Suhaimi menasihati bakal pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada
perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal pasti
pembuatnya.
Menurutnya,
di kebanyakan negara, setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol
karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’ (cap kempa)
yang berasal daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu
diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.
“Di
Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu emas sama ada jenis 999, 950,
916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga
dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu.
“Ia
penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan
sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan
mereka, termasuk karat dan ketulenan, tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna
mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika
bercanggah dengan apa yang tercatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,”
katanya.
Bagaimanapun,
bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui hanya
segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau palsu.
“Macam
saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat
agak ia palsu atau tulen.
“Kita
boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang penting,
beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang sembarangan.
“Ada
segelintir individu menawar untuk menjual barang kemasnya kepada orang ramai
dengan harga terlalu murah dengan alasan terdesak dan perlukan duit segera.
Perbuatan ini sungguh mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia
boleh menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya
menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.
Suhaimi
juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu
lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.
“Emas
perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak. Menambahkan
logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan anda menukar warna
emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Tembaga
ditambah untuk menghasilkan warna mawar atau merah muda.
“Saduran
emas adalah proses yang menggunakan kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada
barang kemas yang menggunakan kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding
dalam bentuk emas salutan.
“Istilah
mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan lapisan
emas yang disadur sangat tipis,” katanya.
: hargaemas.com.my