KUALA LUMPUR 9 Mac - Koperasi-koperasi terkemuka di negara ini disaran
supaya menceburi urus niaga simpanan emas bagi memperkukuhkan masa depan
ekonomi ahlinya dan orang Melayu secara keseluruhannya.
Pengurus Besar Serambi Budi Sdn. Bhd., Rohaya Abu berkata, selain meraih
keuntungan, penyimpanan emas dalam jangka panjang adalah sangat baik kerana ia
membantu mengembangkan ekonomi ummah dan pulangan urus niaga emas adalah lebih
baik berbanding dengan perniagaan lain.
"Berdasarkan analisis, harga emas menjelang tahun 2020 dijangka
meningkat sehingga RM500 satu gram.
"Dalam tempoh 10 tahun lalu, harga emas telah mengalami kenaikan
antara 300 hingga 400 peratus, ini sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup
kepada pemiliknya," katanya selepas menandatangani perjanjian persefahaman
(MoU) simpanan emas dengan Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kota Mas), di sini
kelmarin.
Turut hadir Pengerusi Kota Mas, Datuk Ismail Nordin dan Presiden Serambi
Budi, Amin Supian. Menerusi MoU ini Koperasi Telekom menyediakan modal sebanyak
30 peratus kepada ahli-ahli untuk memiliki simpanan emas sementara 70 peratus
lagi melalui pembiayaan daripada Ar Rahnu Kota Mas.
Kota Mas mempunyai Skim Ar Rahnu sendiri manakala emas dibekalkan oleh
Serambi Budi, sebuah syarikat pengeluar emas jongkong bertaraf antarabangsa,
Beliau percaya lebih banyak koperasi di negara ini akan menyertai urus
niaga simpanan emas kerana usaha itu menguntungkan.
Kini Serambi Budi telah mengenal pasti kaedah mudah untuk menceburi urus
niaga simpanan emas kerana kejatuhan harga emas kini merupakan masa terbaik
untuk membeli logam berharga itu.
Dalam kaedah yang ditawarkan, pembeli hanya perlu menyediakan 30 peratus
tunai daripada harga emas semasa.
Setelah emas tersebut disahkan ketulenan oleh Ar Rahnu, pembeli akan
menerima 70 peratus tunai untuk dibayar terus kepada Serambi Budi dan akan
mendapat pulangan tiga kali ganda kenaikan harga emas. Pembelian secara Ar
Rahnu adalah selamat dan tiada unsur riba.
Selain menjual emas, Serambi Budi juga menyediakan panduan perkhidmatan
praktikal untuk memahami Ar Rahnu adalah perniagaan kepada rakyat Malaysia
serta nasihat dari pegawai yang berdaftar.
Seorang kakitangan Telekom Malaysia, Shukor Hasaan yang menyertai program
simpanan emas ini berkata, akan tiba satu tempoh yang mana tiada apa pun yang
bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia melainkan dinar (emas) dan
dirham (perak).
"Saya merasa terpanggil untuk berjinak dengan pembelian dan
simpanan emas. Alhamdulillah ternyata tindakan saya telah pun menghasilkan
pulangan berganda. Sistem yang diperkenalkan oleh Serambi Budi adalah satu cara
pembelian dan simpanan emas yang kreatif yang dapat memperkasa ekonomi
bumiputera Melayu di Malaysia dan di dunia," katanya.
Beliau berkata, pembayaran zakat 2.5 peratus setahun ke atas emas yang
disimpan kepada institusi zakat dapat menyumbang kepada kekuatan ekonomi dan
dapat dimanfaat oleh asnaf terlibat.
Katanya, kerjasama sinergi antara Kota Mas dan Serambi Budi dalam usaha
pembelian dan simpanan emas ini seharusnya dimanfaatkan oleh seluruh warga
bumiputera dan TM khususnya untuk mempertingkatkan tahap ekonomi mereka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140310/wk_04/Koperasi-disaran-ceburi-urus-niaga-simpanan-emas#ixzz2wNTCMmqw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment