Perniagaan merupakan
satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberikan pulangan lumayan
khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan bisnes yang diceburi. Tidak
kiralah berniaga apapun, yang penting prospek perniagaan sememangnya salah satu
cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan. Fakta sendiri telah membuktikan
bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan para peniaga. Contohnya,
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan antara jutawan Melayu terkemuka di
Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan. Begitu juga
dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki kilang kicap dan belacan berkat
usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya meraih pulangan yang lumayan.
Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah mampu untuk mengangkat seseorang
itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mengikut
startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk bergelar jutawan pada masa akan
datang. Beberapa strategi dan panduan telah digariskan untuk memandu para
peniaga kecil terus giat berusaha bagi memastikan perniagaan berkembang maju
dan mampu untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu masa nanti.
Mesti Pandai
MENCURI!!
Haa!! Untuk menjadi
seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak tersebut mestilah pandai
mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu
melakukan jenayah, tetapi mencuri yang dimaksudkan adalah bijak mengambil
peluang yang ada dalam dunia perniagaan yang mana peluang-peluang tersebut
dapat membantu untuk meningkatkan lagi kejayaan perniagaan tersebut. Peniaga
yang bijak akan memerhatikan keperluan semasa masyarakat sekeliling. Contohnya,
sekiranya di suatu kawasan penempatan tersebut tidak ada menyediakan
perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan menggunakan peluang tersebut
dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh bermula secara kecil-kecilan.
Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang dalam perniagaan. Melihat
kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan menggunakan peluang yang
ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang individu menempa kejayaan
yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan melihat peluang itu
sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu sebagai satu
kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran kreatif dan
inovatif.
Berpandukan kepada
situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak lagi ruang yang
ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap perniagaannya. Terutama
pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka peluang kepada para usahawan kecil
untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan
bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai
juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan
kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi
perniagaan mereka.
Antara agensi-agensi
kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan peniaga kecil adalah
seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga
(TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak lagi. Kesemua ini
merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata untuk menarik
minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya
mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki
perniagaan sendiri. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’ peluang
yang terhidang ini atau tidak.
Motivasi yang
Tinggi
Kegagalan merupakan satu
lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi tidak bermakna
kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi
kejayaan selepas itu. Malah kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari
sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat
untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami
kegagalan. Motivasi yang tinggi merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda
tanyalah kepada mana-mana jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa
jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan
sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas dengan ujian
dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan menyebabkan mereka terus
gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai kecekalan dan mentaliti yang kuat,
kegagalan yang menimpa diibaratkan sebagai satu cabaran untuk mereka terus
berusaha dan berjaya.
Setiap peniaga harus
mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh kejayaan dan kekayaan.
Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam perniagaan,
lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia tindakan
tepat..” Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan
perniagaan. Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Berusahalah
dengan sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula dengan
kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan
bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan. Rasulullah
S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik dalam berniaga.
Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan kesabaran dalam berniaga.
Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap Baginda S.A.W bertambah.
Begitu juga dengan kita pada hari ini, sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni
dalam perniagaan pastinya perusahaan yang kita jalankan akan mendapat perhatian
dan menarik lebih ramai pelanggan. Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju
dan berjaya. Ingat!! Sikap anda dalam menguruskan perniagaan akan memberi kesan
kepada perniagaan anda sendiri.
Lain Daripada
Yang Lain
Ya, lain daripada yang
lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu perkara yang pelik, kita akan
mendapat perhatian yang lebih berbanding kita membuat perkara-perkara yang
biasa. Contoh, apabila kita memakai baju secara terbalik dan kemudian kita
berjalan di pasar raya, pasti kita akan menjadi perhatian masyarakat
sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi inilah yang dikatakan lain
daripada yang lain. Konsep ini sangat berkesan apabila diaplikasikan dalam
perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti peniaga yang lain, akan
tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka tidak mustahil sekiranya
ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan. Walaubagaimanapun, untuk
menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu mestilah berfikiran kreatif dan
kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu cara yang boleh memberi
kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan terhadap produk yang kita
jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan produk yang sedia ada. Aspek
kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat menarik lebih ramai pelanggan
sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih terkenal. Siapa sangka dari
sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat sehingga melayakkan kita untuk
bergelar jutawan melalui perusahaan yang dijalankan.
Contoh, kita boleh
melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik yang begitu terkenal
dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU adalah antara sutradara
yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain.
Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakkannya mempunyai kelainan
yang tersendiri. Bermula dengan Cicakman iaitu merupakan filem tempatan terawal
yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya
meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek
lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk menghasilkan
Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau. Oleh itu, setiap para peniaga kecil
perlu menanamkan keazaman yang tinggi dan terus berfikiran kehadapan untuk
menghasilkan sesuatu produk yang lebih menarik.
Persaingan Sihat
Dalam sesuatu
perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu wujud dan
berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk perniagaan tetapi
adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada perniagaan.
Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh para peniaga
kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan perusahaan yang
dijalankan. Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal
berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat
kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada
peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga
tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga lain
adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat. Pergaduhan
juga boleh berlaku.
Oleh itu, bagi para
peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan
dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya. Sekiranya anda
memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu yang sihat, maka
sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang lain untuk
meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan.
Sekali lagi saya ingin
memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap
tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana
tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan
apa yang dikerjakan..” Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu
berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik. Ingat, sebagai
peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya
carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita
tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami
kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam
perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi
mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah
dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga
seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak,
menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut
kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa
yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki
yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam.
Banyak lagi sebenarnya
cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil untuk
memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun, percayalah anda
mampu untuk bergelar jutawan sekiranya keempat-empat elemen diatas diamalkan
dengan baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk
seseorang itu menjadi jutawan. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi
berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang
membanggakan. Islam sendiri telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan 9/10
daripada pintu rezeki. Fakta ini ternyata relevan apabila begitu ramai jutawan
yang lahir didunia hari ini dengan bersandarkan kepada bisnes yang dijalankan.
Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan
dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus
berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut
berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti.
Semoga
berjaya!!
sumber: http://www.usahawan.com
No comments:
Post a Comment