
BANGI, 10
Jan 2013 – Pelabur beragama Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati
dan berwaspada apabila menyertai sebarang skim pelaburan emas bagi
mengelak risiko urusniaga yang ditawarkan tidak mengikut kehendak
syariah.
Pensyarah
Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), A.M. Hafizi berkata urusniaga emas menjadi haram dan
terbatal jika emas yang diniagakan tidak wujud dan emas yang dijual itu
perlu pula dibeli daripada pihak ketiga dalam satu urusniaga berasingan
setelah ia sudah pun dijual.
Membuka
akaun pelaburan emas seperti itu menjadi haram dan terbatal kerana bank
telah menjual sesuatu yang bukan miliknya dan wujud riba memandangkan
tidak ada elemen taqabud fil majlis iaitu tiada penawaran dan
penerimaan. Sebarang penangguhan seperti itu akan membawa kepada
Riba’an-Nasiah.
Pelabur
harus memastikan emas yang hendak dijual oleh bank sudah pun
dimilikinya, katanya dalam satu kertas kerja bertajuk “Pelaburan Emas
dan Aplikasi Semasa: Satu Kajian Kes di Malaysia”. Kertas itu
disediakannya bersama Profesor Madya Noreha Halid dan Muhammad Suhaini
Abu dari Pusat Antarabangsa untuk Pendidikan Kewangan Islam.
Ia
dibentang di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Malaysia 2012,
anjuran UKM dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan
Institut Kewangan Islam dan Pengurusan Harta di Puri Pujangga baru-baru
ini. Ia diikuti dengan satu Wacana Ekonomi Islam anjuran Fakulti Islam
UKM.
Hafizi
berkata urusniaga emas menjadi halal dan sah apabila dua syarat telah
dipenuhi iaitu bank benar-benar memiliki emas yang dijualnya ketika
penjualan.
Bank juga
harus mengeluarkan bukti pembelian dalam bentuk emas atau sijil kepada
pelanggan lantas pelanggan mendapat haknya untuk menjual emas berkenaan.
Satu lagi syarat adalah cara pembayarannya iaitu ia mestilah halal, kata beliau.
Pembayaran dibuat oleh pelanggan mestilah dalam bentuk tunai, dipotong
langsung daripada akaun bank, kad kredit atau debit perbankan Islam atau
cek tempatan.
Sebarang
pembayaran bagi pembelian emas menggunakan cek antarabangsa atau kad
kredit Islam yang hanya dapat ditunaikan dalam tempoh melebihi tiga hari
dilarang menurut Majlis Antarabangsa Akademi Fikah.
Jangka
masa tiga hari dikira sebagai jumlah maksimum untuk penyelesaian
pembayaran berdasarkan dasar urf bagi menjamin syarat mengikut ‘taqabul fil hal’ dicapai.
Ia adalah satu fatwa diputuskan oleh mazhab Maliki dan majoriti ulama
fikah sedunia termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.
Tidak kurang penting pelabur akaun emas wajib membayar zakat apabila haulnya cukup atau mencapai nisab 85 gram emas.
Hafizi
juga turut mengingatkan pelabur lebih berhati-hati dan meneliti risiko
berkaitan dengan pelaburan emas sebelum menyertai sebarang skim
pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Beliau
juga menasihati pelabur sentiasa berhati-hati dan menyelidik latar
belakang syarikat dan samaada urusan jual-beli emasnya sah di segi
undang-undang selain ia diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa.
Sebagai
contoh, pelabur perlu memeriksa dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM) berhubung pendaftaran dan kegiatan perniagaannya.


Pelabur juga patut tahu rekod kewangan syarikat berkenaan termasuk kemampuannya membayar keuntungan pelaburan pelanggannya.
Semua
maklumat, katanya boleh didapati daripada SSM atau daripada syarikat
berkenaan. Pelabur juga perlu mengetahui urusniaga emas syarikat
terlibat seperti sumber pembelian emasnya, perbadanan yang mengesahkan
ketulenan emas dan bagaimana syarikat berkenaan menjana keuntungan
daripada perniagaannya.
Pelabur
seharusnya melapor kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan jika mereka mempunyai bukti emas yang dibeli rendah
mutunya.
Hafizi
juga memberitahu kajian mereka mendapati hanya urusniaga emas ditawarkan
oleh Kuwait Finance House (KFH-i) melepasi kehendak syariah. Dua lagi
bank, Maybank dan Citibank yang menjalankan urusniaga demikian didapati
masih berasaskan konvensional dan tidak memenuhi tuntutan syariah kerana
hakikatnya pelabur mereka tidak boleh mengeluarkan deposit akaun
simpanan emas mereka dalam bentuk fizikal.
Pada suatu
wacana Ekonomi Islam anjuran Fakulti Islam, UKM kemudiannya, Prof Madya
Dr Azman Mohd Noor dan Syeikh Burhanuddin Lukman, ahli lembaga Syariah
Bank Al Rajhi Malaysia merangkap pensyarah Universiti Islam Antarabangsa
telah menyentuh isu syarikat Genneva Gold dalam kertas kerjanya
“Pelaburan Emas dalam Sistem Kewangan Islam”.
Dr Azman
berkata pelabur Islam harus waspada kerana dalam urusniaga seumpama itu
tidak wujud ‘Taqabud’ iaitu emas dibeli tidak dihantar atau diserah
dengan segera selepas pembayaran.
Ini dengan sendirinya menimbulkan masalah riba ‘Mud Ajwah’ yang amat dilarang dalam Islam.
Faktor
ketiga yang harus diberi perhatian oleh pelabur Islam adalah syarikat
telah menyalahguna konsep hibah (pemberian hadiah) bagi tujuan Skim
Cepat Kaya.
Beliau juga menyatakan nilai sebenar emas sekarang adalah lebih tinggi daripada harga pasarannya (dalam bentuk wang fiat).
“Oleh
kerana masih ada keyakinan orang ramai terhadap wang fiat terutamanya
Dolar Amerika, emas dinilai lebih rendah dari nilai sebenarnya”.
Beliau
berkata nilai emas dahulu tidak jauh beza dengan nilainya sekarang
dengan menyorot kepada harga kambing pada zaman Nabi Muhammad saw adalah
lebih kurang harga sekarang jika dikira dengan emas.
Sebuah
hadis menyebut seorang sahabat Nabi membeli kambing dengan harga satu
dinar iaitu bersamaan dengan 4.25 gram emas. Hari ini satu gram emas
berharga RM170 maka 4.25 gram adalah lebih kurang RM700.
Mengenai
syarat ketat dalam urusniaga emas, Dr Azman menarik perhatian kepada
satu kisah melibatkan Umar Al-Khattab yang melarang dua sahabat Nabi
yang berjualbeli emas dan perak tetapi salah seorang dari mereka ingin
menangguh penyerahan peraknya.
Kata Umar,
“sesungguhnya Rasulullah saw telah berkata:(jual beli) perak dan emas
adalah riba kecuali jika (mereka berkata) “nah ambil ini” dan (seorang
lagi berkata) “nah ambil ini”.
Dr Azman
juga memetik satu hadis yang bermaksud: Jual beli emas dengan emas,
perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma
dengan kurma, garam dengan garam, mestilah sama kuantiti (berat atau
sukatan), serah menyerah tangan ke tangan, jika sekiranya jenisnya
berbeza, maka bolehlah kamu menjualnya sebagaimana yang kamu mahu jika
sekiranya berlaku penyerahan tangan ke tangan.
: http://www.ukm.my/news/index.php/ms/component/content/article/1323-



No comments:
Post a Comment