Oleh
TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 April – Penggunaan
dinar emas dan dirham perak diyakini mampu menjadi penyelesaian kepada krisis
ekonomi yang melanda dunia sekarang.
Ketua Jabatan Kewangan Fakulti
Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, penggunaan wang kertas
sebenarnya memudahkan serta menggalakkan spekulasi dan manipulasi mata wang
kerana ia tidak memiliki nilai seperti dinar emas.“Sebenarnya penggunaan dinar
emas dan dirham perak dalam perniagaan bukan sesuatu yang baru kepada dunia
kerana ia digunakan sejak zaman dahulu lagi.
“Ini kerana dinar emas dan dirham
perak merupakan wang sebenar yang merangkumi prinsip keadilan, ekonomi dan
kestabilan serta mapan. Ia bukan sahaja baik untuk negara Islam tetapi juga
kepada semua negara lain,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli
panel dalam sesi forum bertajuk ‘Emas dan Perak-Mata Wang Baru Dalam
Perdagangan dan Pelaburan’ pada Forum Halal Sedunia (WHF) 2012 di sini hari
ini.
Ahamed Kameel berkata, masalah
sistem kewangan sekarang adalah jumlah wang kertas yang dicetak sebenarnya
lebih banyak berbanding pertumbuhan ekonomi sebenar dunia.
“Keadaan ini menyebabkan berlaku
inflasi dan krisis ekonomi yang bukan sahaja memberi kesan kepada negara,
tetapi juga kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu Pengasas World
Islamic Mint, Prof. Dr. Umar Ibrahim Vadillo pula menegaskan, sudah sampai
masanya umat Islam kembali kepada penggunaan sistem kewangan sebenar dengan
menggunakan dinar emas dan dirham perak seperti yang dituntut dalam Islam.
“Saya yakin jika diberi pilihan, 99 peratus penduduk dunia akan memilih untuk
menggunakan mata wang emas dan perak kerana ia lebih bernilai
berbanding kertas.
“Sekiranya semua negara Islam
bersatu dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak dalam setiap urus niaga,
ekonomi umat Islam akan menjadi lebih kukuh serta tidak lagi mudah
dimanipulasi,” katanya. Umar turut mempersoalkan sesetengah negara Islam yang
terlalu takut dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dalam melaksanakan
sistem kewangan berasaskan dinar emas dan dirham perak dalam urus niaga negara
masing-masing. “Sampai bila kita mahu terus
ditipu oleh mereka yang sekarang membeli emas, minyak dan gas daripada negara
Islam dengan hanya menggunakan kertas-kertas tidak bernilai,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment